Tuesday, 22 December 2015

Surat terbuka untuk Perdana Menteri

Assalamualaikum wbt,

Ke hadapan Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, 

Dato Sri, 

Jika surat ini sampai ke pengetahuan Dato Sri, pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Dato Sri kerana sudi meluangkan masa untuk membaca surat saya ini. Saya bukan siapa-siapa, saya cuma seorang rakyat Malaysia di antara 30 juta yang ada, yang ingin meluahkan isi hati mungkin kebanyakan rakyat marhaen di negara tercinta ini.

Dato Sri,

Tahun 2015 sudah hampir melabuhkan tirainya, dan apa yang boleh saya katakan adalah tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar, bukan sahaja bagi kerajaan tetapi juga bagi kami orang kebanyakan. Cabaran ini bermula dengan pengenalan GST pada April lalu. Kami dijanjikan dengan sistem yang lebih telus, efisien dan pantas dalam proses kutipan cukai. Ya, jika diukur dari sudut itu, memang boleh dikatakan GST mencapai tanda aras telus, efisien dan pantas tersebut kerana boleh dikatakan hampir kesemua barangan dikenakan GST kecuali yang diwartakan sebagai kadar sifar atau "zero rated", termasuk barangan yang tidak dikenakan cukai sebelum ini. Kami dijanjikan dengan harga barang yang lebih murah selepas pengenalan GST, namun setelah 8 bulan berlalu, apa yang kami rasai adalah kos sara hidup yang semakin membebankan. Dikatakan yang pendapatan GST berjumlah lebih kurang RM30 juta sehari, tetapi kami tidak nampak hasilnya. Sistem pengangkutan awam masih di takuk lama, sekolah masih banyak yang perlu dibaiki, rumah mampu milik masih tidak cukup jumlahnya dibanding dengan permintaan. Jadi ke mana hasil GST ini semua pergi?

Kemudian, beberapa bulan selepas itu kami dikejutkan dengan pengumuman kenaikan kadar tol untuk lebuhraya bertol dalam bandar yang kebanyakannya di Lembah Klang. Yang sedihnya, sudahlah kami terbeban dalam perbelanjaan asas, sekarang tol pula yang sekarang dikira keperluan disebabkan banyaknya laluan tol untuk sampai ke tempat kerja kami juga naik kadarnya. Dato Sri, memang ada Menteri yang kata "kalau nak elak bayar tol, bangun awal dan cari jalan alternatif". Tapi bagaimana pula dengan proses penjagaan anak-anak, bukan semua orang di Malaysia ini mempunyai pembantu rumah. Juga, takkan kami nak susahkan penjaga anak kami dengan mengejutkan mereka seawal masuknya waktu solat Subuh. Jadi, rela atau tak rela kami telan sajalah tol yang mahal tu. 

Selepas kenaikan tol tersebut, kami ingatkan pengangkutan awam akan menjadi "penyelamat" kami untuk mengawal kewangan yang sudah tenat ini. Namun, gembira kami cuma seketika bila di akhir tahun ini, telah diumumkan kenaikan kadar tambang untuk LRT, komuter dan monorel, ada yg sampai 50% kenaikannya. Nampak macam sudah tiada jalan keluar buat kami. Segala tempat nak dinaikkan harga. Apa lagi pilihan yang kami ada. Oh, saya terlupa...ada seorang Menteri kata "saya akan jadi orang yang paling gembira kalau ramai orang kembali ke kampung untuk bekerja". Alasan ini amat lucu bagi saya, kerana buat masa sekarang memang bandar tempat kebanyakan orang mencari rezeki tak kira dalam sektor awam atau swasta. Di kampung kita boleh menyumbang sebagai petani, penternak dan nelayan. Mungkin lebih prasarana boleh dibangunkan di kampung-kampung jika kita mahu ramai rakyat kembali ke kampung dan membangunkan kampung masing-masing. 

Saya faham yang kedudukan kewangan negara makin tenat, ditambah dengan penurunan harga minyak dunia dan juga nilai matawang kita. Tapi, apa yang kami ingin lihat adalah apa solusi yang akan dicari? Nampaknya sekarang ini, solusi yang didapatkan ialah dengan menaikkan kadar itu dan ini dan menyerahkan tugas menampung tabung negara melalui wang rakyat. Kami rakyat Malaysia mahukan penyelesaian yang lebih kreatif daripada ini, contohnya galakkan pembelian barangan Malaysia untuk mengelakkan pengaliran mata wang kita ke luar negara, galakkan pelancongan domestik, berikan bantuan kepada peniaga untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara dan sebagainya. Bukan semua masalah negara boleh diselesaikan dengan mengambil wang daripada rakyat melalui cukai dan sebagainya. 

Dato Sri,

Tahun ini juga hampir setiap hari isu 1MDB diputarkan di seluruh media tidak kira arus perdana atau alternatif. Bagi saya dan mungkin kebanyakan rakyat, penerangan yang diberi masih tidak memuaskan. Pada pendapat saya, Dato Sri patut berehat sementara waktu buat masa ini. Berilah ruang kepada pihak berwajib bagi menjalankan siasatan mereka sebaik mungkin dan tanpa gangguan. 

Sebelum saya akhiri warkah saya ini, saya ingin ingatkan diri saya dan juga Dato Sri yang setiap apa yang kita lakukan ini dicatat oleh malaikat dan diperhatikan oleh Yang Maha Esa. Jika Dato Sri yakin Dato Sri di pihak benar, semoga Dato Sri diberkati dan dirahmati Allah. Namun, jika benar terdapat kekhilafan, marilah kita sama-sama insaf sebelum ditimpa musibah. Jangan kita tunggu sehingga Tuhan buka segala aib dan kesalahan kita, barulah kita mahu sedar dan insaf. Ingatlah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. 

Sekian,

Rakyat Marhaen


No comments:

Post a Comment