Assalamualaikum wbt dan Selamat Hari Raya Aidilfitri...
Apa khabar semua? Memang dah agak lama saya tak menulis, maklum saja saya ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan di pejabat dalam beberapa bulan ni dan baru sekarang ada sikit masa nak menulis.
Hari ini 7 Syawal, jadi baru dalam seminggu kita berhari raya. Pastinya ramai antara kita yang pulang ke kampung di serata negara bukan? Saya pun begitu. Hari tu, saya berhari raya di rumah mertua di Besut bersama keluarga kecil saya, jadi bagi kami di Pantai Timur ni, kalau dari Kuala Lumpur ada 2 laluan yang boleh digunakan iaitu melalui jalan persekutuan Laluan 8 bermula dari Bentong (selepas
Tol Bentong) sehingga Kota Bharu, atau melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), yang khabarnya akan mengenakan tol di LPT 2 bermula tengah atau hujung bulan ini pada kadar 12 sen sekilometer.
Berkenaan dengan perjalanan ini, saya sebenarnya tertarik dengan satu posting oleh bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli, Dato Sazmi Miah. Dalam posting tersebut, beliau menyatakan kepada beberapa pemimpin politik daripada pihak kerajaan terutama yang berasal dari Kelantan agar cuba untuk merasai pengalaman pulang ke kampung dengan memandu sendiri kenderaan masing-masing yang saban tahun mengambil masa berjam-jam, kadangkala sehingga 20 jam meredah kesesakan, terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya.
Ya, memang benar. Perjalanan pergi dan balik kampung ini memang mengambil masa yang lama terutama pada musim perayaan kerana bilangan kenderaan yang sangat banyak. Tidak saya nafikan yang mereka di Pantai Barat juga merasai perkara yang sama. Namun, bagi yang di Pantai Timur terutama yang berasal dari Kelantan, kesesakan ini memang sesuatu yang memang terpaksa dilalui setiap tahun kerana tiadanya laluan lain selain daripada LPT yang berakhir di Kampung Gemuruh di sempadan antara Kuala Terengganu dengan Setiu dan kemudian terpaksa menyambung perjalanan melalui jalan dalam untuk terus ke Kelantan. Ini berbeza dengan mereka di Pantai Barat dengan adanya lebuhraya PLUS dari selatan di Skudai sehingga Bukit Kayu Hitam di utara yang jalannya 'direct' dan tidak perlu meredah pekan dan bandar kecuali bila tiba di susur yang paling hampir dengan kampung masing-masing.
Isu utamanya di sini ialah, mengapa lebuhraya tidak dibina sehingga masuk ke negeri Kelantan? Adakah terlalu mahal sangat untuk membina lebuhraya dari Gemuruh hingga ke Kota Bharu yang jaraknya kira-kira 150 kilometer atau teruskan sambung saja sehingga Rantau Panjang, sepertimana Bukit Kayu Hitam di Kedah?
Isu tentang lebuhraya ini telah lama dibangkitkan oleh banyak pihak sejak sekian lama. Saya pun dah cari sedikit info tentang siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam soal pembinaan lebuhraya ini. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, di bawah Jadual 9, perancangan bandar dan desa adalah tertakluk di bawah Senarai Bersama, manakala isu-isu berkaitan tanah di bawah kuasa kerajaan negeri. Jadi, sepatutnya kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan Pusat cuba duduk semeja dan mencari jalan bagaimana isu ini boleh diselesaikan segera.
Saya tidak tahu pulak adakah kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS memang sengaja tidak mahu berbincang dengan Kerajaan Pusat tentang masalah pembinaan lebuhraya ini. Atau jika benar, mungkin sengaja mahu dijadikan modal untuk mengutuk Kerajaan Pusat kononnya tidak kisah atau cakna tentang nasib rakyat Kelantan. Bagi Kerajaan Pusat pula, jika kerajaan negeri sudah memohon bantuan atau kelulusan, bantulah mana yang boleh dan janganlah dibiarkan saja, kononnya sebagai hukuman kerana tidak memilih anda pada pilihanraya sejak 1990.
Semoga semangat Syawal dan Aidilfitri 1437 ini memberi harapan baru kepada kita semua agar lebih prihatin terhadap rakyat seluruhnya. Lupakanlah sengketa lama dan binalah jambatan ukhuwah untuk kepentingan bersama, insya Allah...
No comments:
Post a Comment