Monday, 25 July 2016

Apa Yang Kecoh Pasal DoJ Press Statement Ni?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Saya rasa ada antara kita yang dah tahu tentang kenyataan akhbar yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US Department of Justice - DoJ) tentang "civil forfeiture" atau penyitaan sivil yang akan diambil oleh pihak US. Banyak reaksi dah keluar daripada press statement ini, termasuk kemungkinan US akan campur tangan dalam urusan kerajaan Malaysia dan mengganggu kedaulatan negara. 

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita sama2 fahamkan apa benda lah "civil forfeiture" ni? Menurut DoJ, makna "civil forfeiture" adalah sebuah proses undang-undang di mana pihak berkuasa undang-undang akan merampas aset-aset daripada pihak yang disyaki terlibat dalam perlakuan jenayah atau aktiviti yang menyalahi undang-undang. Tindakan penyitaan ini tidak semestinya menyebabkan pemilik harta tersebut didakwa, paling utama ialah harta-harta yang diperoleh secara haram akan disita oleh kerajaan Amerika di bawah-bawah undang-undang tertentu. 

Satu lagi, tindakan DoJ ini bukanlah terhadap 1MDB atau mana-mana rakyat Malaysia tetapi adalah terhadap filem "The Wolf of Wall Street" termasuk hak-hak kepada keuntungan, royalti dan hasil pengedaran filem tersebut yang akan diterima oleh Red Granite Pictures, Inc. (syarikat yang menerbitkan "The Wolf of Wall Street") dan/ataupun pihak-pihak yang bersekutu dengannya dan pihak lain yang diberikan hak ("affiliates and/or assigns"). Kita perlu jelas dengan perkara ini terlebih dahulu. 

Ada orang tanya, US ada hak (jurisdiction) ke untuk ambil tindakan ini? Jawapan saya kepada soalan ini ialah "YA", sebab tujuan penyitaan ini adalah untuk merampas harta-harta yang disyaki diperoleh secara haram melalui sistem perbankan US sendiri. Tindakan ini adalah tertakluk di bawah 18 US Code (USC) seksyen 981 yang menyatakan bahawa Kerajaan US berhak merampas harta sama ada tidak alih atau boleh alih (real or personal), yang diperolehi secara haram. Rujuk pautan ini untuk maklumat lanjut.

Ok, sekarang rasanya kita dah jelas yang tindakan ini adalah untuk menyita harta yang diperoleh secara haram. Soalan kita seterusnya adalah bagaimana dengan orang-orang yang terlibat? Mereka ini tak kena dakwa ke? Kalau diikutkan memang nampak seperti tiada, namun mukasurat terakhir kertas pertuduhan yang disediakan oleh DoJ menyebut perkara di bawah:


Jika dilihat pada gambar di atas, Kerajaan Amerika menyebut yang notis secukupnya akan diberi kepada semua pihak berkepentingan (interested parties) supaya dapat hadir dan memberi sebab mengapa "civil forfeiture" ini  tidak sepatutnya berlaku. 

Interested parties di sini melibatkan ramai orang seperti yang telah disebut dalam media termasuk 1MDB, Jho Low, Riza Aziz dan sebagainya termasuk 2 orang pegawai 1MDB yang tidak dinamakan dan juga "Malaysia Official No. 1". Apakah maksud Kerajaan Amerika memanggil "interested parties" ini? Apa yang saya faham ialah semua "interested parties" diberi peluang membela diri dan menyatakan sebab mengapa harta-harta yang disyaki diperoleh secara haram ini tidak patut diambil oleh pihak USA. Maksudnya, ada kemungkinan jika "interested parties" membela diri, satu kes mahkamah yang lebih panjang akan bermula dan perkara yang membimbangkan adalah maruah negara mungkin akan tercalar disebabkan isu tatakelola (governance) yang sangat kompleks dan besar ini.

Kesimpulan yang saya boleh buat di sini ialah pihak-pihak yang berkenaan perlu tampil dengan segera bagi menjawab segala tuduhan pihak Amerika, dan jika anda di pihak yang benar, cepat-cepatlah tunjukkan buktinya. Janganlah diam seribu bahasa, kerana ada pepatah Melayu mengatakan bahawa diam itu tanda kita setuju atau mengiyakan sesuatu perkara.

Doa saya ialah semoga Malaysia terus terpelihara dan aman serta terus maju tanpa gangguan anasir-anasir luar insya Allah. 

Di bawah saya senaraikan rujukan-rujukan saya dalam menulis posting ini jika anda berminat membaca secara penuh maklumat yang telah saya kongsikan:


Thanks for reading...

Tuesday, 12 July 2016

Raya, Traffic Jam dan Tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Pusat

Assalamualaikum wbt dan Selamat Hari Raya Aidilfitri...

Apa khabar semua? Memang dah agak lama saya tak menulis, maklum saja saya ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan di pejabat dalam beberapa bulan ni dan baru sekarang ada sikit masa nak menulis. 

Hari ini 7 Syawal, jadi baru dalam seminggu kita berhari raya. Pastinya ramai antara kita yang pulang ke kampung di serata negara bukan? Saya pun begitu. Hari tu, saya berhari raya di rumah mertua di Besut bersama keluarga kecil saya, jadi bagi kami di Pantai Timur ni, kalau dari Kuala Lumpur ada 2 laluan yang boleh digunakan iaitu melalui jalan persekutuan Laluan 8 bermula dari Bentong (selepas 
Tol Bentong)  sehingga Kota Bharu, atau melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), yang khabarnya akan mengenakan tol di LPT 2 bermula tengah atau hujung bulan ini pada kadar 12 sen sekilometer. 

Berkenaan dengan perjalanan ini, saya sebenarnya tertarik dengan satu posting oleh bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli, Dato Sazmi Miah. Dalam posting tersebut, beliau menyatakan kepada beberapa pemimpin politik daripada pihak kerajaan terutama yang berasal dari Kelantan agar cuba untuk merasai pengalaman pulang ke kampung dengan memandu sendiri kenderaan masing-masing yang saban tahun mengambil masa berjam-jam, kadangkala sehingga 20 jam meredah kesesakan, terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya. 

Ya, memang benar. Perjalanan pergi dan balik kampung ini memang mengambil masa yang lama terutama pada musim perayaan kerana bilangan kenderaan yang sangat banyak. Tidak saya nafikan yang mereka di Pantai Barat juga merasai perkara yang sama. Namun, bagi yang di Pantai Timur terutama yang berasal dari Kelantan, kesesakan ini memang sesuatu yang memang terpaksa dilalui setiap tahun kerana tiadanya laluan lain selain daripada LPT yang berakhir di Kampung Gemuruh di sempadan antara Kuala Terengganu dengan Setiu dan kemudian terpaksa menyambung perjalanan melalui jalan dalam untuk terus ke Kelantan. Ini berbeza dengan mereka di Pantai Barat dengan adanya lebuhraya PLUS dari selatan di Skudai sehingga Bukit Kayu Hitam di utara yang jalannya 'direct' dan tidak perlu meredah pekan dan bandar kecuali bila tiba di susur yang paling hampir dengan kampung masing-masing. 

Isu utamanya di sini ialah, mengapa lebuhraya tidak dibina sehingga masuk ke negeri Kelantan? Adakah terlalu mahal sangat untuk membina lebuhraya dari Gemuruh hingga ke Kota Bharu yang jaraknya kira-kira 150 kilometer atau teruskan sambung saja sehingga Rantau Panjang, sepertimana Bukit Kayu Hitam di Kedah? 

Isu tentang lebuhraya ini telah lama dibangkitkan oleh banyak pihak sejak sekian lama. Saya pun dah cari sedikit info tentang siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam soal pembinaan lebuhraya ini. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, di bawah Jadual 9, perancangan bandar dan desa adalah tertakluk di bawah Senarai Bersama, manakala isu-isu berkaitan tanah di bawah kuasa kerajaan negeri. Jadi, sepatutnya kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan Pusat cuba duduk semeja dan mencari jalan bagaimana isu ini boleh diselesaikan segera. 

Saya tidak tahu pulak adakah kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS memang sengaja tidak mahu berbincang dengan Kerajaan Pusat tentang masalah pembinaan lebuhraya ini. Atau jika benar, mungkin sengaja mahu dijadikan modal untuk mengutuk Kerajaan Pusat kononnya tidak kisah atau cakna tentang nasib rakyat Kelantan. Bagi Kerajaan Pusat pula, jika kerajaan negeri sudah memohon bantuan atau kelulusan, bantulah mana yang boleh dan janganlah dibiarkan saja, kononnya sebagai hukuman kerana tidak memilih anda pada pilihanraya sejak 1990.

Semoga semangat Syawal dan Aidilfitri 1437 ini memberi harapan baru kepada kita semua agar lebih prihatin terhadap rakyat seluruhnya. Lupakanlah sengketa lama dan binalah jambatan ukhuwah untuk kepentingan bersama, insya Allah...